Pengalaman Temuduga SPP Guru Bahasa Melayu (2023)
– Kisah Saya & Tips Jujur Buat Bakal Cikgu –
Hari ni saya nak kongsi sikit pengalaman temuduga SPP saya tahun 2023, moga boleh jadi panduan dan penguat semangat buat korang yang bakal lalui sesi temuduga nanti.
Sebelum tu, saya kongsikan timeline hidup saya. Hihi
Sept 2022: Tamat belajar.
-
Disember 2022: Konvokesyen.
-
Februari 2023: Baru isi borang SPP.
-
Jun 2023: Dapat panggilan temuduga!
-
6 November 2023: Alhamdulillah, keputusan temuduga BERJAYA!
-
28 Disember 2023: Posting rasmi di sekolah pertama 🥹❤️
Temuduga Saya – Jam 11 Pagi, Masuk 12 Tengah Hari
Saya dapat sesi jam 11 pagi, tapi tak terus masuk ya. Kena tunggu giliran dan saya masuk ke bilik IV lebih kurang pukul 12 tengah hari. Ada 10 calon dalam satu bilik, dan 3 orang panel penemuduga.
Antara Soalan Yang Saya Ingat:
-
Perkenalkan Diri – Nampak Basic, Tapi Sebenarnya Sangat Penting
Sebelum temuduga, saya sempat sertai beberapa kelas persediaan — antaranya bersama Sir Moris, Sir Izwan, dan Prof. Dr. Rizuan Che Rus. Saya juga aktif ikut program yang dianjurkan oleh kelab di bawah persatuan UPSI, yang menjemput guru-guru yang telah berjaya dalam temuduga dan sudah posting. Banyak sangat input dan tips berguna yang saya dapat daripada mereka.
Mungkin ini antara faktor yang membantu saya lulus temuduga SPP. Saya pilih untuk perkenalkan diri ikut gaya yang diajar oleh Prof Rizuan. Contohnya:
“Kod diri 001. Nama saya Noorshahirah...”
Menarik, kan? Lain daripada biasa. Dan ya, panel nampak lebih tertarik bila kita tonjolkan keyakinan dan kelainan semasa perkenalkan diri.
-
Kenapa nak jadi cikgu?
Kenapa Nak Jadi Cikgu? – Soalan 'Wajib' Tapi Jangan Jawab Klise
Soalan ni memang soalan wajib dalam temuduga SPP. Tapi... tolonglah jangan jawab semata-mata sebab minat. Terlalu klise, dan panel dah dengar beratus kali. Kalau nak beza dari calon lain, jawab dengan jujur, ikhlas, dan ada nilai diri.
Contoh jawapan saya waktu tu:
“Saya nak jadi guru kerana saya rasa inilah cara saya dapat berbakti kepada anak bangsa.Saya nak balas jasa kerajaan yang telah banyak membantu saya sejak kecil terutama dalam menyediakan pendidikan dan berkualiti.Dan bagi saya, menjadi guru adalah satu usaha untuk menyambung tugas Rasulullah SAW, iaitu menyampaikan ilmu yang bermanfaat dan membentuk akhlak insan.” Pengalaman Semasa di Universiti – Jangan Jadi ‘Team PBSM’ Tau! 😂
Waktu panel tanya tentang pengalaman di universiti, saya memang kongsikan penglibatan saya sepanjang belajar, bukan akademik semata-mata, tapi aktiviti luar kelas yang banyak membentuk keyakinan dan kemahiran diri.
Saya pernah berlakon teater, aktif dalam pelbagai kelab dan persatuan, dan paling saya suka – sertai program sukarelawan. Bukan sekadar nak hias sijil, tapi dari situ saya belajar cara komunikasi, urus program, kerja dalam pasukan, dan bina empati.
Nak pesan sikit kat adik-adik yang masih belajar:Jangan jadi ‘Team PBSM’ -Persatuan Balik Setiap Minggu- 🤠(gurau je!). Tapi serius waktu universiti ni lah masa terbaik untuk serap pengalaman dan cari versi terbaik diri sendiri.Belajar tu penting, tapi penglibatan luar kuliah tu pun sangat-sangat bernilai, dan bila masuk temuduga nanti, semua ni akan jadi bahan cerita yang panel suka dengar (lagi-lagi kalau kita cerita dengan semangat!).
-
Penyertaan dan penglibatan paling aktif di U – ni kena ada isi sikit ya
-
Subjek Temuduga – Jangan Datang Kosong Ya!
Adik-adik yang bakal hadiri temuduga SPP nanti — pastikan tahu subjek apa yang korang mohon! Kalau mohon Sejarah, maka bersedialah dengan ilmu Sejarah. Kalau macam saya, Bahasa Melayu — maka kena bersedia topik-topik asas BM.
Jangan datang dengan kepala kosong. Nampak remeh, tapi panel boleh tanya secara rawak. Dan ya, memang ada yang tergagap sebab tak jangka soalan berkenaan subjek.
-
Antara Soalan Subjek BM Yang Saya Terima:
-
Kata tugas – Panel tanya secara terus, jadi kena tahu kategori dan contoh.
-
Diftong – Jelaskan maksud, dan beri contoh.
-
Berikan 2 peribahasa – Saya siap bagi dengan maksud.
-
Cara menarik minat murid belajar KOMSAS– Masa ni saya kongsikan teknik saya sendiri:
-
Guna visual seperti peta pemikiran atau gambar bersiri
-
Lakonan pendek (role-play watak)
-
Guna gamifikasi / kuiz interaktif
-
Kaitkan dengan nilai murni yang dekat dengan jiwa murid
-
-
-
-
Isu semasa?– Masa sesi saya, tak ada sangat soalan isu semasa pendidikan... Tapi ada juga panel sebelah yang tanya tentang konsep MADANI. Untuk isu dunia pun tak ditanya. Tapi lain masa, lain panel, lain bilik makanya soalan tak sama. Tulah disebut pengalaman.Saya pun lupa soalan apa, tapi waktu tu memang konsep MADANI baru diperkenalkan, jadi pastikan tahu sikit-sikit ya. Kawan yang tajaan KPM bulan Jun 2023 memang ramai ditanya tentang MADANI. Tapi sekarang sangat banyak isu pendidikan. Jadi, adik-adik kena peka isu pendidikan semasa, politik dan lain2. Penting juga tahu.
Simulasi Mengajar – Kena Bersedia, Tapi Mungkin Tak Kena
Saya sendiri tak kena buat simulasi mengajar, mungkin sebab sesi saya dah masuk tengah hari. Tapi masa saya sertai kelas-kelas persediaan sebelum interview, memang ada calon yang kena.
Jadi, nasihat saya walaupun tak semua kena, tetap kena bersedia. Sekurang-kurangnya ada satu RPH ringkas dalam fail, atau skrip pendek untuk 5-10 minit mengajar. Tak rugi pun. Masa temuduga UPSI 2018, saya kena buat simulasi mengajar pada waktu itu boleh katakan saya tak bersedia tetapi disebabkan selalu jadi guru muda di kelas, alhamdulilah ok je. Hihi.
Fail Sangat Penting!
Saya bawa dua fail:
-
Fail peribadi (sijil-sijil, transkrip, resume dsb.)
-
Fail Latihan Mengajar (yang sangat berat & sangat lengkap, hihi 😅)
Panel akan semak fail semasa temuduga berlangsung. Mereka mungkin akan terpandang sijil atau penyertaan, dan boleh terus tanya soalan berdasarkan itu. Semasa semak tu, saya perasaan panel ada tick borang, borang warna merah jambu.
Contoh:
“Cikgu ada terlibat dalam program XYZ ni, boleh kongsikan sedikit tentang program tersebut?”
So… jangan pandang rendah fail-fail ni. Susun elok-elok, letak label, dan tahu isi kandungan fail sendiri! Jangan sampai panel lebih tahu dari kita. 🙈
Jadi, selepas tamatnya LM adik-adik lengkapkan fail ya! Jangan campak ke dinding pulak fail. Fail tu mesti kemas, letak label barulah sejuk hati panel. Biar ada warna-warni gitu. Semua ni saya dapat dari perkongsian kelas Sir Moris, Sir Izwan dan Prof Rizuan Che Rus. Adik-adik mesti join. Saya berbulan-bulan join kelas mereka sangat membantu. Boleh search di FB, Tiktok.
Tips Jujur Dari Saya:
-
Datang awal & bawa air/minyak cap kapak kalau jenis berdebar. 😆
-
Bawa fail lengkap dan kemas.
-
Tahu asas Bahasa Melayu (fonetik, peribahasa, tatabahasa).
-
Kalau tak tahu jawab, tenang dan senyum, jangan mereka-reka. Minta maaf pada panel, maaf saya tak pasti dan minta mereka untuk ajukan soalan lain.
-
Paling penting - yakin, jujur, dan jadi diri sendiri.
Pakaian -Bab pakaian ni jangan pandang ringan ya. First impression tu penting sangat, walaupun kita datang temuduga guru — bukan masuk ratu cantik. Tapi penampilan yang kemas dan profesional memang boleh beri markah tambah secara tak langsung.
Masa temuduga hari tu, saya pakai: Blazer + Baju Kurung, ikut nasihat Sir Moris.
Dan jujur nak kongsi… saya beli baju tu pagi sebelum temuduga dekat kedai Hari-Hari je. Hihi 😅 Tapi janji nampak kemas, selesa dan yakin pakai!
Di hujung temuduga juga, panel akan tanya. Ada soalan tak. Jadi, saya angkat tangan dan tanya. "Ada harapan tak kami semua nak lulus temuduga untuk jadi guru". Panel senyum dan jawab insyaAllah, dan ucapkan tahniah jika kami semua (10 orang) jika ada yang berjaya. Temuduga ni memang mendebarkan, tapi anggap ia satu pengalaman belajar. Tak kira berjaya atau belum, proses ni akan bentuk diri kita jadi lebih bersedia untuk dunia perguruan sebenar.
Semoga perkongsian saya ni bermanfaat buat semua bakal guru. Good luck & moga rezeki korang pun dipermudahkan 💪🌼
Mungkin ada part 2. Hihi. Ada pesanan panel yang sangat deep bagi saya.